May 7, 2015

Bab 46 - Hanya Apa Yang Aku Rasa

Assalamualaikum.

Dunia hari ini tidak lagi seperti dahulu. Yang mana semuanya tenang, tiada ribut petir dan juga sangka-kala. Tiada perkara dikongsikan serata dunia. Tiada rahsia dikongsi secara terbuka. Tiada aib dicanang merata-rata. Namun kini semuanya berbeza. Semuanya sudah terbiasa dengan perkongsian bersama-sama. Baik yang elok mahupun buruk, semuanya diceritakan pada semua. Manusia sudah terbiasa, ingin bercerita sesama mereka. Tidak mahu jadi manusia yang ketinggalan. Senyap dan diam tatkala semua sedang gelak sakan. Mahu atau tidak mereka cuba menjadi seperti mereka. Sehingga terjadi perkara yang tidak diduga. Mula kita malu dan cuba mencari di mana silapnya. Jangan ditunding jari pada sesiapa. Kerana silapnya itu datang dari diri kita. Yang terlalu sibuk memikirkan mereka di dunia. Lupa tentang yang di atas sana.

Memang tidak semua manusia sempurna. Hendak ditegur tapi diri sendiri entah bagaimana. Manusia sekarang sukar untuk ditegur. Alasan mereka masih sama, kita mati bukan satu kubur. Jika tiada benda yang baik untuk diucapkan, elok sahaja jika kita diam dan berikan senyuman. Bukan mahu berlagak baik. Tapi kenapa perlu kita bersetuju jika bukan itu yang kita mahu? Tidak memberikan jawapan tidak bermaksud kita bersikap bongkak. Hanya tidak mahu jadikan isu untuk bertekak. Manusia sudah tidak tahu membezakan dan menilai tentang sesuatu perkara. Yang elok dikatanya tunjuk bagus. Yang jahat dikatanya belum sampai masa. Kita tidak tahu bila masa tarikh tamat kita di dunia ini. Jangan hanya asyik bercerita sana sini. Hingga terlupa aib itu perlu kita jaga.

Buat aku dan kamu. Jangan terlalu enak berceita. Hingga terabai sisi gelap kita dan mereka. Yang mana hanya menjerumus kepada dosa. Buat manusia berjalan seiring tapi bermasam muka. Peringatan ini untuk semua yang aku tahu buat perkara serupa. Mungkin aku tidak layak untuk berkata-kata. Tapi izinkan aku untuk berkongsi apa yang aku rasa. Hendak terima atau tidak terpulang pada kalian. Kerana aku hanya seorang picisan. Belum cukup bagus untuk memberi peringatan. Kata mereka yang sudah berusia tapi tingkah lakunya seperti remaja.

Untuk semua dan juga diri sendiri.
Kerana kita semua takut akan mati.

-INR