February 18, 2015

Bab 41 - Bila Niat Berubah

Dalam kita merancang untuk buat sesuatu benda tu, mesti kita ada niat kita yang tertentu betul? Setiap niat yang kita pasang tu ibarat eletrik yang menjadi punca tenaga bagi setiap gerak-geri dan perbuatan kita dalam membuat sesuatu tu. Niat tanpa nekad akan menjadi niat semata-mata dan ianya mudah berubah kerana niat ini letaknya di hati. Dan seperti semua sedia maklum, hati manusia ini mudah dan sering berubah-ubah. Bila niat kita berubah, tujuan asal kita dalam melakukan sesuatu itu turut berubah. Jika perubahan itu dari buruk ke baik, itu sememangnya tiada masalah. Tapi bagaimana pula jika ianya berubah dari baik ke buruk?

Buruk dalam erti kata lain, niat yang baru itu bercanggah langsung dengan niat yang lama. Perubahan niat itu mungkin juga dari faktor sekeliling, tapi mungkin juga dari kehendak diri sendiri yang sedang mencari kepuasan. Kepuasan yang mana hanya dapat dilakukan melaui perubahan niat dalam apa yang sedang dilakukan. Niat yang bertukar dari baik ke buruk juga beerti niat yang boleh membuatkan perkara yang dilakukan itu memberikan keburukan pada orang-orang di sekeliling kita. Dalam erti kata lain, orang sekeliling kita terkesan dari perubahan niat itu. Mengapa?

Kerana mereka berkemungkinan hanya menyokong ketika kita punya niat yang baik dalam melakukan sesuatu itu. Lama kelamaan, niat yang buruk itu mula bersemai dan kita tanpa rasa ragu akan terus mengikut rentak niat yang buruk itu. Dari situ, mereka yang selama ini menyokong kita mungkin akan berpaling atau juga berlalu tanpa menghiraukan kita. Pastinya bagi kita ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima kerana kita rasakan apa yang kita buat itu betul. Ia hanya betul jika ianya dilakukan berdasarkan niat kita pada mula-mula sekali, sebelum kita memulakan apa yang kita dapat lakukan. Paham?

Jadinya, dalam membuat sesuatu perkara itu tetapkan niat atau nawaitu yang benar. Yang diredhai olehNya dan bukan bersandarkan pada perkara yang menjejaskan diri kita. Dan juga, tetapkan niat itu selari dengan kemampuan kita dan selalulah beringat tentang niat asal kita melakukan sesuatu benda itu. Tanpa niat itu, mungkin kita tidak akan pergi jauh dalam apa yang kita lakukan. Tanpa niat itu, mungkin kita tidak akan peroleh kejayaan yang kita nikmati.

Dan tanpa niat itu, mungkin kita tidak akan berada di tempat dimana kita sedang berdiri hari ini.