December 30, 2015

Bab 51 - Penutup Tahun

Assalamualaikum.

Tinggal satu hari lagi dan kita semua akan di bawa ke dalam tahun yang baru.  Semua bersedia dengan azam dan cita-cita baru. Walau yang lama mungkin tak terlaksana, janji azam baru perlu ada. Mungkin untuk menghabiskan azam yang lama atau menambah azam baru yang belum terlaksana. Jika tiba pada penutupnya, akan di habiskan juga masa mengimbas kembali. Apa yang telah diperoleh dan dikecapi sepanjang tahun yang akan pergi. Satu per satu kenangan mula diimbas kembali. Pahit manis suka duka semuanya sekali, bermain dalam kepala tanpa henti. Bukan hanya mengimbas kenangan, ada juga yang menghitung perjalanan. Setiap satu dari kita sudah semakin tua dan masing-masing semakin meningkat usia. Untuk menghadap tahun baru pasti akan diminta kesihatan yang baik. Agar diri sendiri tidak lembik, menempuh dugaan dan perit getir. Semua juga akan mintak kehidupan yang lebih bagus dari tahun sebelumnya. Dengan syarat tidak pernah berhenti berusaha. Kerana tanpa usaha tidak akan ada rezeki.Tanpa rezeki, semuanya nampak serba tak jadi. Usaha dan tawakkal dan berdoa. Agar kehidupan akan lebih diredhai.

Untuk aku?
Aku hanya mahu berikan lebih kekuatan dan tumpuan pada hidup orang bekerja. Berikan lebih masa dan perhatian pada cita-cita. Bakal mengubah rutin harian dek bertukar pekerjaan, aku hanya berharap kerja ini lebih diberkati. Lebih memberi kegembiraan dan semangat untuk aku terus kejar cita-cita yang aku impikan. Aku mahu menjadi aku yang dulu. Yang tidak mudah berputus asa, tidak mudah mengalah dan tidak mudah penat dek kerana kerja. Aku mencari kerja yang buat aku gembira. Buat aku tidak rasa masa-masa aku bekerja tetapi ibarat membuat sesuatu yang aku suka. Memang bukan mudah tapi ianya harus bermula sekarang. Aku sedar dan aku sedang menukar jalan cerita buat diri ini. Jika murah rezeki mungkin dapat aku lakukan sesuatu untuk diri ini.

Aku hanya mahu menjalani hidup yang lebih tenang. Yang lebih banyak gembira dari duka dan lebih senyuman dari tangisan. Dan aku berdoa agar kita semua dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik. Untuk kita semua lebih bersemangat mencari rezeki untuk diri dan juga untuk yang disayangi. Selamat Tahun Baru, semoga buku lama tidak kekal berdebu.

-INR