December 30, 2015

Bab 51 - Penutup Tahun

Assalamualaikum.

Tinggal satu hari lagi dan kita semua akan di bawa ke dalam tahun yang baru.  Semua bersedia dengan azam dan cita-cita baru. Walau yang lama mungkin tak terlaksana, janji azam baru perlu ada. Mungkin untuk menghabiskan azam yang lama atau menambah azam baru yang belum terlaksana. Jika tiba pada penutupnya, akan di habiskan juga masa mengimbas kembali. Apa yang telah diperoleh dan dikecapi sepanjang tahun yang akan pergi. Satu per satu kenangan mula diimbas kembali. Pahit manis suka duka semuanya sekali, bermain dalam kepala tanpa henti. Bukan hanya mengimbas kenangan, ada juga yang menghitung perjalanan. Setiap satu dari kita sudah semakin tua dan masing-masing semakin meningkat usia. Untuk menghadap tahun baru pasti akan diminta kesihatan yang baik. Agar diri sendiri tidak lembik, menempuh dugaan dan perit getir. Semua juga akan mintak kehidupan yang lebih bagus dari tahun sebelumnya. Dengan syarat tidak pernah berhenti berusaha. Kerana tanpa usaha tidak akan ada rezeki.Tanpa rezeki, semuanya nampak serba tak jadi. Usaha dan tawakkal dan berdoa. Agar kehidupan akan lebih diredhai.

Untuk aku?
Aku hanya mahu berikan lebih kekuatan dan tumpuan pada hidup orang bekerja. Berikan lebih masa dan perhatian pada cita-cita. Bakal mengubah rutin harian dek bertukar pekerjaan, aku hanya berharap kerja ini lebih diberkati. Lebih memberi kegembiraan dan semangat untuk aku terus kejar cita-cita yang aku impikan. Aku mahu menjadi aku yang dulu. Yang tidak mudah berputus asa, tidak mudah mengalah dan tidak mudah penat dek kerana kerja. Aku mencari kerja yang buat aku gembira. Buat aku tidak rasa masa-masa aku bekerja tetapi ibarat membuat sesuatu yang aku suka. Memang bukan mudah tapi ianya harus bermula sekarang. Aku sedar dan aku sedang menukar jalan cerita buat diri ini. Jika murah rezeki mungkin dapat aku lakukan sesuatu untuk diri ini.

Aku hanya mahu menjalani hidup yang lebih tenang. Yang lebih banyak gembira dari duka dan lebih senyuman dari tangisan. Dan aku berdoa agar kita semua dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik. Untuk kita semua lebih bersemangat mencari rezeki untuk diri dan juga untuk yang disayangi. Selamat Tahun Baru, semoga buku lama tidak kekal berdebu.

-INR

October 30, 2015

Bab 50 - Pengakhiran

Assalamualaikum.

Bandingkan dulu dengan sekarang, tangan aku dah tak selaju dulu. Sekarang aku kena fikir apa nak tekan, apa nak karang. Dulu, aku letak je tangan terus berjela-jela karangnya. Aku sedar benda ni mula jadi bila aku hanya dalam kepompong yang sama. Aku terperap dan terperangkap dalam satu tempat yang buat minda aku tak kembang. Buat otak aku hang dan seakan-akan tak berfungsi. Aku juga disaji dengan benda yang sama. Yang buat aku rasa seperti bukan lagi manusia. Kerana hanya menurut perintah dan arahan dari orang atasan semata. Aku tahu aku mampu buat sesuatu lebih dari itu. Jadi, oleh kerana itu aku pilih untuk tinggalkan dan berlalu. Risikonya mungkin tinggi dengan suasana tengah macam-macam jadi. Tapi aku tak boleh berlengah lagi. Atau aku akan jadi zombi, seperti mati tapi masih celik lagi.

Aku mencari sesuatu yang boleh buat aku rasa happy. Bukan yang buat aku rasa nak mati, rasa dipijak dan tidak dihargai. Aku masih baru dan banyak perkara perlu belajar. Tapi tanpa seseorang untuk mengajar, masakan aku boleh berjaya? Memang dikata jangan tunggu bantal disorong. Tapi tanpa bimbingan dan bantuan, mana manusia yang boleh berjaya? Sedangkan Tuhan pun membantu bila kita tiada sesiapa. Apatah lagi bila kita ada mereka yang lebih mengetahui. Apalah salah untuk berkongsi dan menunjuk ajar itu ini.

Hari ini merupakan pengakhiran. Untuk aku di tempat ini, walaupun aku gembira. Tapi kebanyakkannya aku berduka. Yang mana aku tahu tidak elok untuk kesihatan. Jadi aku akhirkan dengan suratan. Suratan untuk menghabiskan sisa baki, yang ada lebih kurang dalam tiga bulan lagi. Aku perlu mulakan langkah baru dan dengan itu, aku perlu selalu memburu. Ilmu dan pengalaman untuk dijadikan guru.

-INR

September 29, 2015

Bab 49 - Dua Puluh Sembilan Haribulan Sembilan

Assalamualaikum.

Dua puluh empat bulan. Dan pada masa yang sama, empat puluh lapan bulan.
Jadinya, seribu empat ratus enam puluh hari.

Mungkin kita belum lagi menjadi yang halal
Belum lagi menjadi yang sah
Dan belum lagi dikira sesuai sesama kita
Tapi kita tahu apa yang kita rancangkan
Dan kita juga sentiasa berdoa semoga ianya dipermudahkan

Berkat sambung belajar nun jauh dari utara
Engkau dipertemukan dengan aku yang dari selatan
Mulanya kita hanya sebagai kawan
Yang selalu bertekak dan saling memerlukan
Sikit sikit rasa sesuatu itu datang menjelma
Engkau mula berpura dalam membuat biasa
Walau aku tahu, aku cuma diamkan saja
Agak lucu melihat cara engkau cuba bersembunyi
Dari mata-mata yang sering memerhati

Maafkan aku kerana tidak mampu menerima pada mulanya
Kerana aku masih tidak mahu terikat dengan sesiapa
Dan terima kasih kerana masih setia
Menunggu dan menerima aku seadanya
Tidak membiarkan aku pergi begitu sahaja
Hanya pada penghujung baru aku sedar
Engkau yang selalu ada waktu sudah dan senang
Yang mampu melayan kerenah aku dengan tenang

Ini semua hanya permulaan
Bagi kisah kita yang nampak seperti angan-angan
Tapi kita tahu apa yang kita mahukan
Terima kasih untuk tali persahabatan
Yang engkau mulakan
Yang mana kita akan cuba akhiri
Dengan kau dan aku menjadi laki bini

-INR

August 7, 2015

Bab 48 - Kesedihan dan Kesabaran

Assalamualaikum.

Tiada apa sangat yang aku nak ceritakan. Hanya ingin berkongsi kesedihan dan kesabaran yang kami (aku dan keluarga) rasakan. Kesedihan hanya kerana rasa kecewa itu ada apabila perkara itu terjadi pada kami. Di mana situasi yang kita rasakan tidak akan terjadi. Tapi sebenar-benarnya bisa terjadi. Apa puncannya aku tidak pasti dan sehingga ke hari ini, aku masih mencari. Tidak perlu aku kongsikan keseluruhan isi hati aku, kerana aku tidak mahu semua orang tahu. Perkara yang terjadi ini melibatkan maruah dan nama ramai pihak, aku tidak mahu jadi antara punca bertekak. Ianya dapat diselesaikan jika adanya perbincangan dan semestinya kesemuanya harus berhadapan. Jangan lari apabila dipanggil nama, kerana kemudian hari kamu juga yang mahu tahu keseluruhan cerita.

Tapi apakan daya, bila dipanggil semuanya buat tidak tahu. Tidak mahu ambil kisah dan tidak mahu ambil peduli. Namun, bila sesuatu terjadi mulalah bercerita dan menagih simpati. Kononnya kamu yang teraniaya walhal kami yang disakiti. Jangan lagaknya hanya kamu yang terkena, kerana lain orang lain ceritanya. Cuba duduk dan cerita bersama, mungkin dari situ dapat dicari rahsia disebalik derita. Aku hanya meluahkan apa yang aku rasa berdasarkan apa yang aku lihat. Jangan dikata semua ini tiada kaitan dengan aku, kerana aku bukan lagi kanak-kanak riang yang hanya buat pekak dan bisu. Aku bisa berfikir dan memahami, ada juga aku cuba untuk mencari solusi. Tapi akhirnya, aku temui jalan mati. Kerana ianya tak akan selesai selagi tiada pertemuan diaturkan.

Jangan terkeliru dan jangan terasa hati. Jika ada salah dan silap aku, sila datang jumpa aku terus sendiri. Kerana yang diluahkan ini dari isi hati, mana mungkin kamu tahu apa yang dirasai.

Kesabaran setiap manusia ada hadnya kerana kita tidak sempurna. Manakan bisa kita akan tetap sabar jika diuji dengan kerenah sebegitu rupa. Pastinya kita akan turut terkesan dan yang kita mampu lakukan hanyalah dengan kesabaran. Kami hanya mampu bertahan dan terus bertahan selagi kami masih sekeluarga. Kami berdiri bersama-sama dan apa pun yang terjadi tetap teguh berdiri. Walaupun adakalanya dapat dilihat kesabaran seseorang itu sudah sampai tahap tertinggi, kami cuba untuk menenangkan dan pastikan tidak ditembusi. Kerana pertambahan lagi situasi mungkin hanya akan memburukkan lagi.

Aku amat berharap suatu hari nanti, aku dapat jumpa jawapan yang dicari. Kerana jawapan itu bisa merungkai segala misteri. Punca kenapa ini semua terjadi. Mungkin dapat dibetulkan jika masih ada masa. Dan jika semua masih punya nyawa.

-INR

July 3, 2015

Bab 47 - Ramadhan Datang Lagi

Assalamualaikum.

Hari ni, bermulalah separuh bulan kedua untuk semua umat Islam menjalankan ibadah puasa. Macam biasa, macam² gelagat manusia dapat kita tengok dalam bulan ni. Lagi² sekarang sebagai seseorang yang dah bekerja, suasana puasa jadi berlainan atas sebab² tertentu. Ada hari penat menahan lapar dan dahaga tu terasa satu badan. Ada hari aku rasa sampai masuk waktu berbuka pun still tak rasa lapar. Alhamdulillah, tempat aku bekerja benarkan semua pekerja Melayu balik awal 45 minit. Tapi macam biasalah, kena la masuk awal supaya orang tak kata kau ni amik kesempatan. Aku terkena sekali, datang awal tapi ofis tak bukak lagi. Penyudahnya, lepas tu aku start datang sebelum pukul 9am. Okay, cukup la pasal keluar masuk kerja waktu bulan puasa ni. Sekarang, aku nak cakap benda yang aku nampak terjadi di keliling aku bila puasa sebagai orang dah bekerja ni.

Tahun ni pengalaman berpuasa aku lain sikit sebab aku dah bekerja. Dan aku bekerja di tempat yang majoritinya bukan Islam. Aku belum pernah lagi berdepan dengan benda² macam ni. Jadi, bagi aku bila jadi perkara macam ni elok jugak la aku kongsikan. Buat pengajaran dan tatapan semua orang. Aku banyak jumpa dalam media sosial cerita pasal masyarakat bukan Islam segan nak minum depan kita yang beragama Islam, bagi peluang umat Islam yang nak berbuka laluan dan jalan dulu, faham situasi dan keadaan bulan puasa yang mulia ni dan macam² lagi lah. Ada di antara benda² ni memang betul² terjadi dekat keliling aku. Tapi aku ni bukan jenis yang suka bercerita dalam media sosial sebab sana hanya untuk tempat aku untuk muhasabah diri.

Antara kejadian yang terjadi dekat aku, bila sehari sebelum puasa ofis aku keluarkan emel cakap sepanjang bulan puasa ni sarapan percuma hari Jumaat akan diberhentikan dan hanya akan disambung semula lepas bulan puasa. Nampak macam "alah, benda kecik je tu". Tapi aku tetap rasa terharu. Sebab apa? Sebabnya, umat Islam kat tempat aku ni berapa kerat je la pun. Bilangan bukan Islam lagi ramai tapi dorang sanggup korbankan sarapan percuma tu untuk hormat kitorang yang sebesar zarah ni berpuasa. Memang orang akan cakap, kalau iman kita kuat makanan depan mata pun kita buat tak tau. Tapi, lain ceritanya kalau dalam ofis ni ada je umat Islam yang tak kuat. Itu, aku ceritakan kemudian.

Benda kedua yang buat aku hormat member² sepejabat aku ni, bila dorang nak amik/minum air atau nak makan cikedis buat kunyah² dorang cakap "sorry" bila sedar aku ada kat situ. Walaupun bukan semua buat macam tu tapi benda tu buat aku sedar. Walaupun dorang tak pernah buat (berpuasa) tapi dorang tau apa yang kita rasa. Kekadang aku pun saja la menyakat kan kata nampak dorang minum/makan tu terus rasa nak minum/makan. Kelam kabut dorang sorokkan. Kahkahkah. Ada juga ofismate aku yang sorang ni, siap intercom cakap jangan pergi tandas dalam masa terdekat ni sebab dia nak makan. Lol. Dia cakap macam tu sebab untuk ke tandas aku kena lalu depan dia. Mungkin dia tak nak la mengganggu aku yang tengah fokus berpuasa dengan bau makanan dia. Hahahaha.

Time bulan puasa ni kekadang kita boleh nampak siapa yang hati dia baik, siapa yang hati dia tak baik. Sebab apa aku cakap macam tu? Sebabnya, kalau dia boleh hormat aku sebagai orang yang berlainan agama maknanya dia ada rasa rendah diri dalam diri dia. Dia tau agama dia bukan yang terbaik dan dia tau, setiap orang ada hak untuk mengamalkan agama masing². Orang yang fikir perasaan orang lain ni la jenis orang yang kita boleh jadikan sebagai kawan. Sebab dorang hormat perasaan kita dan bukan buat sesuka hati dorang macam dunia/tempat ni dorang yang punya. Pentingkan diri namanya tu!

Apa yang aku nak sampaikan sebenarnya, tak semua masyarakat yang bukan Islam tu perangai entah apa². Kekadang dorang ni la perangai lagi elok dari dorang yang sebangsa dengan kita ni. Ada je yang terang²an tak puasa tanpa sebab. Aku tak berani nak tegur sebab aku ni pun belum cukup elok dan orang macam dorang ni, aku tau hanya terima pakai nasihat dari orang yang dorang rasa layak untuk dorang tegur. Maaf korang, aku tak mampu nak bantu korang ke jalan yang sepatutnya sebab kita pun baru je kenal kan. Siapalah aku ni..

Sekian, tu je lah dulu cerita time bulan puasa yang aku boleh kongsikan setakat ni. Nanti sambung lagi.

Adios!

*0708 - Maaf, sambungan hanya dalam angan-angan.

-INR

May 7, 2015

Bab 46 - Hanya Apa Yang Aku Rasa

Assalamualaikum.

Dunia hari ini tidak lagi seperti dahulu. Yang mana semuanya tenang, tiada ribut petir dan juga sangka-kala. Tiada perkara dikongsikan serata dunia. Tiada rahsia dikongsi secara terbuka. Tiada aib dicanang merata-rata. Namun kini semuanya berbeza. Semuanya sudah terbiasa dengan perkongsian bersama-sama. Baik yang elok mahupun buruk, semuanya diceritakan pada semua. Manusia sudah terbiasa, ingin bercerita sesama mereka. Tidak mahu jadi manusia yang ketinggalan. Senyap dan diam tatkala semua sedang gelak sakan. Mahu atau tidak mereka cuba menjadi seperti mereka. Sehingga terjadi perkara yang tidak diduga. Mula kita malu dan cuba mencari di mana silapnya. Jangan ditunding jari pada sesiapa. Kerana silapnya itu datang dari diri kita. Yang terlalu sibuk memikirkan mereka di dunia. Lupa tentang yang di atas sana.

Memang tidak semua manusia sempurna. Hendak ditegur tapi diri sendiri entah bagaimana. Manusia sekarang sukar untuk ditegur. Alasan mereka masih sama, kita mati bukan satu kubur. Jika tiada benda yang baik untuk diucapkan, elok sahaja jika kita diam dan berikan senyuman. Bukan mahu berlagak baik. Tapi kenapa perlu kita bersetuju jika bukan itu yang kita mahu? Tidak memberikan jawapan tidak bermaksud kita bersikap bongkak. Hanya tidak mahu jadikan isu untuk bertekak. Manusia sudah tidak tahu membezakan dan menilai tentang sesuatu perkara. Yang elok dikatanya tunjuk bagus. Yang jahat dikatanya belum sampai masa. Kita tidak tahu bila masa tarikh tamat kita di dunia ini. Jangan hanya asyik bercerita sana sini. Hingga terlupa aib itu perlu kita jaga.

Buat aku dan kamu. Jangan terlalu enak berceita. Hingga terabai sisi gelap kita dan mereka. Yang mana hanya menjerumus kepada dosa. Buat manusia berjalan seiring tapi bermasam muka. Peringatan ini untuk semua yang aku tahu buat perkara serupa. Mungkin aku tidak layak untuk berkata-kata. Tapi izinkan aku untuk berkongsi apa yang aku rasa. Hendak terima atau tidak terpulang pada kalian. Kerana aku hanya seorang picisan. Belum cukup bagus untuk memberi peringatan. Kata mereka yang sudah berusia tapi tingkah lakunya seperti remaja.

Untuk semua dan juga diri sendiri.
Kerana kita semua takut akan mati.

-INR

April 24, 2015

Bab 45 - Perhentian Aku Datang

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur bagi nikmat dan rezeki yang Allah swt berikan
Pada mulanya kami hanya mampu berangan
Entah bila ianya bisa menjadi kenyataan
Tapi kami berjaya jadikan ia satu kejayaan
3 hari 2 malam seperti yang dirancangkan
Walau di saat akhir punya halangan
Tetap juga kami teruskan!

Begitu banyak pengalaman berharga yang aku dapati
Terlalu banyak perkara merupakan pertama kali
Mimpi untuk berjalan menjadi realiti
Bersama mereka yang aku kenali
Dari bertiga kami datang berlima
Semuanya gembira dan sangat teruja
Jadual 3 hari dirancang rapi
Agar tidak ada tinggal saki baki
Indah pemandangan sewaktu tiba
Tidak disangka kami sudah ada di sana
Perancangan kami dikira berjaya
Tiada yang tinggal tidak terlaksana

Pengalaman di sana sangat berharga
Akan aku simpan jadikan harta
Tidak aku rasa ianya sia-sia
Tidak aku rasa ianya hanya sekali
Kami sudah pasang niat untuk datang lagi
Akan datang kami akan lebih berhati-hati
Kerna sudah tahu selok belok di sana nanti
Walau singkat cukup banyak kami pelajari
Tidak ada satu perkara pun kami kesali
In shaa Allah, ada rezeki kita jumpa lagi

Terima kasih Pulau Perhentian,
Di atas pengalaman dan kenangan.

Dari puncak kincir angin.
Pemandangan selama tiga hari dari balkoni.
*Gambar oleh Y, ditangkap oleh iPhone 6 Y. Thank you, Y.

-INR

March 24, 2015

Bab 44 - Kau dan Mereka

Pada mereka yang melihat, kau cukup sempurna
Lengkap dari segala segi, baik dengan semua
Semua yang ada di sebelah sana
Tidak nampak cacat celanya
Semua yang kau lakukan pasti menjadi
Kau tunjukkan sisi yang disukai
Kononnya kau lah paling bagus
Setiap perlakuan kau diminati
Semua percakapan kau dihayati
Hasil kerja tangan kau dikagumi
Yang aku dengar baik-baik sahaja

Tapi hakikatnya, ia bukan begitu di sebelah sini
Di sini kau membenci
Di sini kau tidak peduli
Di sini kau tolak ke tepi
Tanpa ada rasa simpati
Mungkin kerana keadaan yang sedang haru biru
Kau bertindak tidak mahu ambil tahu
Kau biarkan mereka menanggung malu
Kau hanya memandang sebelah mata

Bukankah dengan mereka ini kau bergelak ketawa?
Dengan mereka kau berkongsi duka?
Dengan mereka kau meluangkan masa?
Namun mereka sedar itu semua cerita lama
Kau bukan lagi orang yang sama
Hanya perlukan puji-pujian dari sana

Tapi ada perlunya kau tahu
Yang di sini tetap menanti
Kerana yang di sini akan sentiasa di sisi
Kerana mereka bukan seperti kau
Yang membuang bila sudah mendaki tinggi

March 11, 2015

Bab 43 - Bila Asyik Bertangguh

Assalamualaikum.

Hari ni, aku nak membebel pasal apa yang aku asyik fikirkan sejak kebelakangan ni. Aku jadi tension sebab nak buat tapi tak terbuat. Benda aku nak buat ni bagus tapi tu lah, aku asyik terbenti dari nak betul2 buat benda tu. Apa benda tu sebenarnya? Sebenarnya aku tengah fikir cara macam mana aku nak buat side income dari internet + menulis. Kenapa aku pilih dua medium ni? Sebab menulis dah memang minat aku dan internet sebab medium yang selalu aku guna pakai. Nak2 pulak aku dah kerja sekarang, so ada internet senang sikit aku nak buat kerja. Ye dok?

Tapi yang menjadi masalah sekarang aku tak tau nak mula dari mana. Haih. Aku jumpa macam2 cara sebenarnya tapi entah. Aku tak rasa aku dah cukup sedia nak buat semua tu. HAHAHA. So, basically salah aku jugak la sebab asyik tertangguh dari nak buat benda tu kan. TAPII, aku tetap akan buat jugak satu hari nanti sebab aku tau itu je cara aku boleh tambah side income aku dan boleh buat aku duduk diam bila bosan. HAHA. Blog ni pun dah lama berhabuk, tak tau siapa yang datang jenguk sebenarnya. Kahkahkah. Pun salah aku jugak sebab aku segan nak share link blog aku bila orang mintak. Bongok kan?

Mungkin dah sampai masa untuk aku letakkan link blog ni secara terang2, so that orang akan mula 'perasan' pasal blog aku ni. Nak ngumpat ke, bagi pendapat ke, aku terima je lah sebab memang takkan ada orang yang terus suka bila kita buat sesuatu. In shaa Allah, semoga perjalanan aku untuk cari modal lebih dipermudahkan dan semoga blog ini bakal menjadi tempat untuk aku menulis tanpa henti. :)

Cukuplah bebelan untuk kali ni. Kita sambung lagi nanti.

Adios, rea-dos!

March 4, 2015

Bab 42 - Suatu Hari Nanti

Aku minat menulis dan juga mengarang. Karangan sekolah aku tak pernah ada masalah sebab aku agak mahir dalam mengarang dan sudah semestinya berkait antara satu sama lain. Dulu, aku tau tempat untuk aku mengarang hanyalah ketika di sekolah atau pun memblog. Tapi blog pertama aku dah tak wujud sebab kebanyakkan ceritacerita dalam tu isi dia sangat tak matang. Penulisan dia sangat kebudak-budakkan sampai aku sendiri pun naik meluat baca apa yang aku kongsikan. Tapi sekarang, aku tengok trend memblog ni sebenarnya lebih dari sekadar tempat untuk kira jadikan diari atau tempat untuk berkongsi cerita. Tujuan asal mungkin semuanya sama, untuk berkongsi cerita hidup, pengalaman atau kisah peribadi yang boleh memberikan pengajaran pada semua orang.

Salah satu sebab memblog ni jadi trend bukan hanya pada kekuatan penulisan seseorang blogger tu. Tapi juga pada kestabilan internet dan perkembangan teknologi kita pada masa sekarang. Bayangkan, zaman aku dulu kalau nak guna internet kena pergi cyber cafe. Jadinya, nak update blog pun sebulan sekali pun belum tentu. Tapi sekarang, almost everyday (bagi yang tak sibuk bekerja) para-para blogger ni update blog dorng. Asal ada cerita baru, update. Asal ada benda baru, update. Benda baru ini tidak semestinya benda yang berkaitan dengan blogger tersebut. Kekadang, benda baru ni merujuk kepada perkara baru yang terjadi dalam kalangan masyarakat kita. Mungkin semalam baru saja ada seseorang menggunakan drone dan terbangkan di lapangan terbang tanpa kebenaran atau mungkin juga semalam ada perdebatan mengenai warna pakaian yang sekejap warna itu, sekejap warna ini.

Hal-hal semasa seperti ini sering di guna pakai untuk dijadikan bahan penulisan bagi sesetengah blogger. Aku mungkin tidak sebab kebanyakkan isi blog aku lebih kepada perlakuan, perbuatan, perasaan, pemerhatian dan mungkin juga sedikit unsur penasihatan. Apa yang aku kongsikan selalunya adalah perkara yang terjadi dalam lingkungan pergerakan aku. Mungkin dalam kalangan keluarga, rakan seuniversiti, rakan sepejabat atau juga masyarakt setempat yang aku sering perhatikan tingkah laku mereka. Sudah menjadi tabiat aku memerhati dan menganalisis setiap perkara yang terjadi di depan mata atau di sekeliling aku.

Dan sekarang, sejak wujudnya penerbitan buku alternatif, ramai blogger-blogger sedia ada turut berkongsi akan hasil penulisan mereka untuk dijadikan buku. Tak ketinggalan, puisi jugak mula menjadi trend semenjak dua ni. Dan aku jugak memang dah terjebak lama dalam hal ni cuma aku simpan pada diri aku sendiri. Tapi aku ada terfikir, apa salahnya jika aku pun cuba untuk menulis dan kongsika hasil penulisan aku. Aku bukan kena buat buku setebal-tebal macam novel tu. Mungkin ketebalan dia separuh dari novel-novel yang biasa kita nampak. Dan di sinilah aku perlu mula untuk menampakkan diri aku, memperlihatkan penulisan aku. Mana tahu, mungkin satu hari nanti aku berjaya capai apa yang aku inginkan. In shaa Allah. :)

Sekian, au revoir!

February 18, 2015

Bab 41 - Bila Niat Berubah

Dalam kita merancang untuk buat sesuatu benda tu, mesti kita ada niat kita yang tertentu betul? Setiap niat yang kita pasang tu ibarat eletrik yang menjadi punca tenaga bagi setiap gerak-geri dan perbuatan kita dalam membuat sesuatu tu. Niat tanpa nekad akan menjadi niat semata-mata dan ianya mudah berubah kerana niat ini letaknya di hati. Dan seperti semua sedia maklum, hati manusia ini mudah dan sering berubah-ubah. Bila niat kita berubah, tujuan asal kita dalam melakukan sesuatu itu turut berubah. Jika perubahan itu dari buruk ke baik, itu sememangnya tiada masalah. Tapi bagaimana pula jika ianya berubah dari baik ke buruk?

Buruk dalam erti kata lain, niat yang baru itu bercanggah langsung dengan niat yang lama. Perubahan niat itu mungkin juga dari faktor sekeliling, tapi mungkin juga dari kehendak diri sendiri yang sedang mencari kepuasan. Kepuasan yang mana hanya dapat dilakukan melaui perubahan niat dalam apa yang sedang dilakukan. Niat yang bertukar dari baik ke buruk juga beerti niat yang boleh membuatkan perkara yang dilakukan itu memberikan keburukan pada orang-orang di sekeliling kita. Dalam erti kata lain, orang sekeliling kita terkesan dari perubahan niat itu. Mengapa?

Kerana mereka berkemungkinan hanya menyokong ketika kita punya niat yang baik dalam melakukan sesuatu itu. Lama kelamaan, niat yang buruk itu mula bersemai dan kita tanpa rasa ragu akan terus mengikut rentak niat yang buruk itu. Dari situ, mereka yang selama ini menyokong kita mungkin akan berpaling atau juga berlalu tanpa menghiraukan kita. Pastinya bagi kita ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima kerana kita rasakan apa yang kita buat itu betul. Ia hanya betul jika ianya dilakukan berdasarkan niat kita pada mula-mula sekali, sebelum kita memulakan apa yang kita dapat lakukan. Paham?

Jadinya, dalam membuat sesuatu perkara itu tetapkan niat atau nawaitu yang benar. Yang diredhai olehNya dan bukan bersandarkan pada perkara yang menjejaskan diri kita. Dan juga, tetapkan niat itu selari dengan kemampuan kita dan selalulah beringat tentang niat asal kita melakukan sesuatu benda itu. Tanpa niat itu, mungkin kita tidak akan pergi jauh dalam apa yang kita lakukan. Tanpa niat itu, mungkin kita tidak akan peroleh kejayaan yang kita nikmati.

Dan tanpa niat itu, mungkin kita tidak akan berada di tempat dimana kita sedang berdiri hari ini.

January 19, 2015

Bab 40 - Kelebihan dan Kekurangan

Setiap manusia dilahirkan serba sederhana, tiada satu pun yang sempurna. Tidak ada siapa pun pada masa kini yang mempunyai kelebihan tanpa punya satu pun kekurangan. Begitu juga pada mereka yang mempunyai kekurangan, dia pasti akan ada satu kelebihan. Bezanya, samada terang atau tersembunyi sahaja kelebihan dan kekurangan itu.

Kenapa aku bercerita tentang kelebihan dan kekurangan?

Ha, ini kerana hasil persembahan lagu Romancinta oleh Mojo feat. Caliph Buskers di Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) malam semalam. Sebak, terkedu, kagum dan bermacam perasaan lagi semua penonton dan pendengar rasakan. Semuanya kerana sang pelontar suara yang punya kekurangan yang nyata namun turut mempunyai kelebihan yang tersembunyi. Kenapa tersembunyi? Kerana selama ini hanya segelintir sahaja yang mengetahui kelebihan sang pelontar suara tersebut. Bersama-sama rakan²nya yang turut mempunyai kekurangan yang sama, mereka bersatu dalam melakukan perkara yang diminati. Punya bakat yang terpendam, namun hanya pada malam semalam baru semua tahu.

Menjadi tumpuan...

Sang pelontar suara yang bernama Aziz Saat, atau dikenali sebagai vokalis Caliph Buskers merupakan seorang hamba Allah swt yang cacat penglihatan. Itu kekurangannya yang nyata di mata semua. Bukan sebelah mata tapi kedua²nya sekali. Tidak bersedih dengan kekurangan yang ada, masih tetap mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan, beliau diberikan peluang untuk melakukan persembahan di mata dunia. Sungguh merdu nyanyiannya, seakan² seperti penyanyi yang sudah lama berkecimpung di dalam industri. Lontaran suaranya bagaikan ada satu magis yang menarik dan memukau semua yang menonton AJL29 pada malam itu. Sejak detik itu, beliau menjadi tumpuan umum dan cerita tentang kekurangan dan kelebihannya bakal bersambung hingga tidak tahu sampai bila.

Inilah yang dikatakan tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Sesungguhnya kekurangan sang pelontar suara ini telah memperlihatkan kelebihannya kerana kelebihan itu, masyarakat mula menghargai golongan seperti mereka. Jangan disangka mereka yang kurang upaya ini tidak berupaya kerana keupayaan mereka melebihi keupayaan kita yang sempurna.

Ceit. Terserius pulak kali ni. Kahkahkah.

Sekian, au revoir!



January 8, 2015

Bab 39 - Hulurkan Tangan

Salam Awal Tahun!

Haa, sebab kita masih dalam tahun baru jadi aku akan mulakan dengan 'Salam Awal Tahun' je la awal bulan ni. Ahak! Jadi, apa alkisah yang aku nak kongsikan hari ni? Cerita dia bermula begini...


Okay, tipu. Aku melawak ja, takda la nak cerita panjang sangat pun. Cuma nak kongsikan perasaan aku lepas tolong orang atau erti kata lain, bantu ceriakan mood seseorang. Benda ni jadi hari ini, pagi sebelum aku keluar gi jumpa client. Sebabkan aku bawak kereta, jadi aku datang agak awal dan aku berjaya dapatkan parking-dalam-kotak lepas aku perhati satu kereta-yang-macam-nak-keluar-tapi-belum-nak-keluar. Nasib aku baik sebab masa tu tak ada kereta lain yang masuk lorong pejabat aku tu. Jadinya, tekaan aku betul. Tak lama lepas tu, kereta-yang-macam-nak-keluar-tapi-belum-nak-keluar tu pun keluar dari parking-dalam-kotak tu. Betul² depan pejabat aku pulak tu. Dah macam satu kejayaan besar aku rasa masa tu. Muahahaha.

Tapi aku tak lama pun dekat situ sebab jam sepuluh pagi aku nak keluar jumpa client. Masa aku keluar dari lif, berjalan nak ke kereta, dekat tempat lalu lalang bawah ofis ada la rakan sepejabat aku ni duk bercakap pasal parking. Aku agak dia baru sampai dan dia hanya dapat parking tepi jalan je, jadi aku pun tawarkan tempat parking-dalam-kotak aku tu memandangkan tak ada kereta menunggu dan dia nampak sangat gusar sebab kereta dia parking tepi jalan. Jadi biasalah, cakap terima kasih, sama-sama dan lepas tu aku terus memandu pergi jumpa client.

Ha, ini bahagian menarik dia!

Sedang aku tengah berborak dengan hakak senior kat pejabat aku, rakan sepejabat aku ni baru balik dari rehat. Dia tepuk bahu aku dan tanya, adakah aku orang yang telah memberikan parking-dalam-kotak kepadanya pagi tadi? Sah-sah la aku jawab ye kan, tak kan nak kata tidak pulak. Dia punya berterima kasih rupanya bersambung. Dia cakap dia betul-betul hargai pertolongan aku dan dia senyum macam baru dapat durian runtuh. Aku pun terangguk-angguk la cakap sama-sama, tidak mengapa dan lain-lain gerak badan untuk tunjukkan itu hal kecik je. Tapi tu lah, mungkin bagi dia dapat parking-dalam-kotak tu satu kebahagiaan.

Itu aku paham sebab ruang parking yang ada dekat pejabat aku ni memang macam harremmm!

Korang paham tak apa aku nak sampaikan sebenarnya ni?
Apa yang aku nak sampaikan sebenarnya adalah (baku habih!), senantiasa hulurkan tangan kita untuk orang lain meski untuk perkara sekecil-kecil alam pun. Sebab apa? Tolong orang itu satu kebaikan dan kau tak kan rugi apa pun (melainkan pertolongan tu datang masa yang tak betul, parahh!). Bukan je kau dah ceriakan hari orang, secara automatis hari kau pun akan ceria sebab yelah, orang gembira tak kan kau nak berduka pulak kan? Dapat pulak macam rakan sepejabat aku tu yang tak berhenti-berhenti senyum dan ucap terima kasih. Ihik! (segan tittew)

Bagi kita, nampak macam benda kecik tapi kalau tindak balas yang kau terima macam dari rakan sepejabat aku tadi, mesti kau nak kongsi punya (macam aku). Okay, itu saja untuk kali ni. Kbai.

Sekian, au revoir!

January 6, 2015

Bab 38 - Berangan Itu Penting

Salam Tahun Baru!

Mulai hari ni, akan ada sedikit perubahan dalam penulisan aku. Kenapa? Demi menyesuaikan diri dengan alam sekeliling, flora dan fauna. Ahak! Pertama-tamanya, Selamat Tahun Baru 2015 kepada semua (walaupun tak ada yang membaca sekarang). Semoga tahun ini baik-baik dan indah-indah belaka buat semua. In shaa Allah. :)

Okay..jom mula.

Sebenarnya tak ada cerita apa pun, cuma aku saja nak menulis dek kerana kebosanan yang melanda diriku kala ini. Dan jugak kerana aku sedang bereksperimentasi dengan gaya penulisan aku. Untuk tahun ni, aku sedang cuba dan berusaha untuk sekurang-kurangnya hasilkan cerpen dan hantar ke penerbit faveret aku. Aku memang minat menulis, sampai dalam kelas masa belajar dulu pun orang dah bagi nota pun aku tetap nak tulis. Kahkahkah. Kekadang tak ada sebab pun aku tetap nak menulis tapi tu lah, tak tau nak tulis apa. Jadi, kebanyakkan isi kepala aku ni aku campak ke sini, ke FB, ke Twitter atau ke mana-mana je lah yang boleh campak. HAHA. 

Kenapa aku minat menulis?

Sebab dari penulisan, aku dapat sampaikan pada orang apa yang aku nak sampaikan. Baik cerita, pengalaman, pemerhatian dan lain-lain lagi. Lagi-lagi dari pemerhatian, aku paling sukaaaaaaa perhati orang. Muehehe. Bagi aku, melalui pemerhatian ni pun kau dah boleh belajar erti hidup. Cumanya, kau kena ada pandangan yang luas dan hati yang terbuka dalam menafsirkan segala benda yang kau perhati. Perhati bukan takat kau tengok je, kau pun kena faham dan dalami setiap situasi yang kau perhatikan tu. Cuba cari cerita di sebalik apa yang kau perhatikan dan fikirkan apa akibat atau punca jadinya sesuatu benda yang kau perhatikan tu. Tapi jangan la sampai kau pergi tanya orang-orang tu pulak. Naya dibuatnya nanti. Hahaha.

Cadangnya aku nak tulis pendek-pendek, dalam dua muka surat cukup la. Sekali aku dapat tau, kena tulis minimum dua ribu patah perkataan. Jadiiiii, kenalah aku asah bakat menulis panjang-panjang ni. Idea, isi ada cuma aku kena kreatipkan lagi skill menulis aku supaya aku dapat panjangkan dan dalam masa yang sama aku tak merapu. Muahaha. Tinggi kan cita-cita aku? Haa, sebab tu lah tajuk entri ni berangan itu penting. Dari berangan tu lah kau cuba dan usaha untuk jadikan dia sebuah realiti. Ihik!

Tu saja buat masa ni, kang kena marah pulak ngan Bos aku. Haha.

Sekian, au revoir!